Monday, February 15, 2010

Adat Membina Rumah Panjang

(in Bahasa Melayu)

Apabila sebuah rumah panjang sudah usang adalah menjadi tanggungjawab tuai rumah untuk mengadakan perjumpaan dengan pengikutnya bagi membincangkan pembinaan sebuah rumah panjang baru. Sekiranya ketua setiap keluarga setuju, semua lelaki dan setiap keluarga diminta untuk mengumpulkan bahan-bahan pembinaan (ramu) yang diperlukan dengan secukupnya seperti tiang kayu, alang, kasau, papan-papan dan lain-lain. Sekiranya semua keluarga melaporkan mereka telah habis mengumpulkan semua ramu, tuai rumah dengan bantuan tuai Burung atau tukang ramal akan menentukan tarikh bertuah untuk membersihkan tapak (ngerembang) rumah panjang baru itu.

Beberapa hari sebelum tarikh itu, tuai rumah akan masuk ke dalam hutan untuk mencari alamat atau petanda baik. Sekiranya rumah panjang baru itu akan dibina di hilir sungai dan tapak rumah sebelumnnya, dia akan cuba mencari bunyi burung Nendak di, sebelah kanannya. Apabila dia terdengar bunyi burung itu., dia akan mencabut sebatang anak pokok di kawasan itu untuk menandakan kejadian itu, dikenali sebagai tambak burung, dan dia akan membawa balik anak pokok itu untuk disimpan.

Pada keesokan harinya, tuai rumah masuk lagi ke hutan untuk tujuan yang sama. Apabila dia terdengar bunyi burung dan sebelah kanannya dan mencabut anak pokok itu menandakan kejadian itu, dia pun pulang ke rumah bersama-sama tambak burung. Pada awal pagi hari ketiga, dia masuk ke hutan lagi. Kali ini untuk mencari bunyi burung dan arah sebelah kirinya. Apabila dia terdengar bunyi burung itu, dia akan mencabut sebatang anak pokok di situ dan pulang dengan tambak burung yang terakhir.

Pada awal pagi ngerembang, tuai rumah akan membakar tambak burung di tengah-tengah tapak baru itu sebelum memimpin ahli-ahli rumah panjang memulakan kerja membersihkan tapak itu. Setelah ngerembang tamat, ahli-ahli keluarga diminta mengumpulkan semua bahan-bahan binaan yang telah dikumpulkan pada tapak rumah baru masing-masing.

Tiga bulan selepas ngerembang, adat mendirikan tiang permun (tiang utama rumah) dan diikuti oleh tiang rumah lain dilakukan. Sebelum itu, tuai rumah akan merenjis darah babi betina dewasa sambil membaca doa ringkas untuk memohon tuhan (Bunsu Petara) dan roh-roh, terutamanya roh-roh nenek moyang bagi merahmatkan rumah baru mereka supaya semua penghuninya akan mencapai kejayaan dalam segala yang mereka lakukan pada masa depan. Selepas doa dibaca, tiang rumah dimasukkan ke dalam lubang dengan garam, seketul kecil emas, kulit-kulit buah langgir dan serantingmumban (pohon rendah yang tumbuh di sepanjang dasar sungai) diselitkan bersama-sama. Setelah peringkat ini siap, bumbung rumah didirikan. Sebaik sahaja rumah panjang itu telah siap dibina, tuai rumah dan tuai burung akan memimpin keluarga-keluarga masuk ke dalam bangunan baru itu. Sebelum mereka berpindah tetap ke bilik baru, setiap keluarga mesti membina dapurnya di rumah baru itu.

No comments:

Post a Comment